Tuesday, August 25, 2009

Penghulu Kita Nabi Muhamad s.a.w.

1. Penghulu Kita Muhamad s.a.w.
--------------------------------
1. Nabi Muhamad s.a.w. adalah utusan Allah kepada seluruh manusia. Baginda adalah nabi yang terakhir. Imam para anbiya’.
2. Baginda datang dengan membawa agam Islam, di mana Allah tidak menerima agama lain pada hari akhirat melainkan agama Islam sahaja.
3. Baginda dari keturunan pembesar Quraisy. Iaitu kabilah yang paling mulia di Mekah al-Mukarramah.
4. Keturunannya berhubung dengan Nabi Ismail bin Ibrahim a.s.

----------
Ringkasan
----------
Saidina Muhamad adalah utusan Allah kepada seluruh manusia. Baginda datang membawa agama Islam. Baginda berbangsa Arab Quraisy dari keturunan Adnani.

-------------------------------------------------
2. Keturunannya dan kematian bapanya
-------------------------------------
1. Bapa Rasulullah s.a.w. ialah Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Qushai bin Kilab.
2. Ibunya ialah Aminah Binti Wahab bin Abdu Manaf bin Zahrah bin Kilab.
3. Keturunan ibunya bertemu dengan keturunan bapanya pada datuknya yang kelima, iaitu Kilab.
4. Bapa baginda s.a.w. telah meninggal dunia ketika baginda berada di dalam kandungan ibunya. Umur ayahnya ketika itu lapan belas tahun. Jenazahnya dikebumikan di Madinah. Ayahnya tidak meninggalkan sedikit hartapun.

--------------
Kesimpulan
----------
Bapa Nabi Muhamad s.a.w. bernama Abdullah bin Abdul Mutalib. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Keturunan keduanya bertemu pada datuknya yang kelima. Bapa baginda mati ketika baginda berada dalam kandungan ibunya.

----------------------------------------
3. Kelahiran dan penyusuannya
------------------------------
1. Nabi kita Muhamad s.a.w. dilahirkan di Mekah pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awal, Tahun Gajah.
2. Tahun itu dinamakan dengan Tahun Gajah kerana pada hari kelahiran baginda raja Habsyah telah mengirimkan bala tentera ke Mekah untuk menghancurkan Ka’bah. Di dalam tentera berkenaan terdapat seekor gajah yang besar. Namun tentera berkenaan telah dihancurkan oleh Allah Taala sebagai memuliakan kelahiran Nabi Muhamad s.a.w.
3. Selepas baginda s.a.w. disusukan oleh ibunya, baginda disusukan oleh hamba bapa saudaranya Abu Lahab iaitu Thuwaibah al-Aslamiah. Kemudian baginda disusukan oleh Halimatus Sa’diah sehinggalah baginda berusia empat tahun.

----------------
Kesimpulan
------------
Nabi Muhamad s.a.w. dilahirkan di Mekah pada tahun Gajah. Baginda disusukan oleh Thuwaibah al-Aslamiah, kemudian oleh Halimatus Sa’diah.

-----------------------------------------------------
4. Kematian Ibunya dan Pemeliharaannya
----------------------------------------
1. Ibu Nabi Muhamad s.a.w. mati ketika baginda berusia enam tahun. Ketika ibunya pulang ke Madinah.
2. Ibunya pulang ke Madinah dengan tujuan menziarahi kubur bapa baginda s.a.w. Turut bersamanya ketika itu ialah datuknya Abdul Mutalib.
3. Ibunya dikebumikan di Abwa’, iaitu sebuah perkampungan yang terletak di antara Mekah dan Madinah.
4. Selepas itu Baginda s.a.w. dipelihara oleh hamba bapanya yang bernama Ummu Aiman.

------------------------------------
5. Pendidikan dan Kematian Datuknya
------------------------------------
1. Selepas kematian ibunya, datuknya Abdul Mutalib telah mendidik dan memelihara Nabi Muhamad s.a.w. Datuknya sangat sayang kepada baginda melebihi sayangnya terhadap anak-anaknya sendiri.
2. Apabila Nabi Muhamad s.a.w. berusia lapan tahun, datuknya telah meninggal dunia. Datuknya telah memeliharanya selama dua tahun.
3. Selepas kematian datuknya, bapa saudaranya Abu Talib telah memelihara baginda. Bapa saudaranya adalah seorang fakir miskin. Kemudian Allah telah memberi keluasan rezeki kepadanya.
4. Ketika berada di dalam peliharaan bapa saudaranya, baginda sentiasa merasa cukup dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Baginda juga telah dipermudahkan segala urusan oleh Allah Taala.

----------
Ringkasan
----------
Selepas ibunya, datuknya telah memelihara Nabi Muhamad s.a.w. Datuknya meninggal dunia ketika baginda berusia lapan tahun. Kemudian baginda telah dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

No comments: